Info Slim Diet II – GEMUK : JANGAN SALAHKAN NASI

Info Slim Diet II – GEMUK : JANGAN SALAHKAN NASI

Ramai salahkan nasi kerana beranggapan sumber karbohidrat itulah punca masalah kegemukan. Justeru, mereka elak makan nasi semasa ingin kuruskan badan, tetapi adakah kita boleh makan nasi untuk kekalkan atau kurangkan berat badan?

Image

Banyak salah faham mengenai nasi. Hakikatnya, nasi menyumbang kepada jumlah kalori yang sama seperti jika anda mengambil gandum. Apa yang penting adalah jumlah nasi yang dimakan.

Nasi adalah sumber karbohidrat kompleks yang baik dan bertindak sebagai sumber protein yang baik bagi menggantikan daging untuk mereka yang mengamalkan diet sayur-sayuran.

Selain itu, ramai juga yang bertanya kepada saya kalau hendak makan nasi, berapa kuantiti yang sepatutnya diambil? Jawapannya, pasti saja boleh untuk anda mengambil nasi dan nasihat saya, ia perlu diambil sebanyak segenggam sebelah tangan anda saja.

Ia sudah memadai dan mengenyangkan ditambah dengan sumber protein lain seperti ikan atau ayam dan sayur-sayuran. Ingat, nasi dalam kuantiti segenggam itu adalah jumlah sumber karbohidrat untuk sekali makan saja.

Anda mungkin makan nasi sekali, dua, tiga atau lima kali sehari, tetapi ia harus dalam kuantiti segenggam itu. Jika anda menukar nasi dengan mengambil roti, pasta atau mihun, cuba bayangkan kuantitinya sebanyak segenggam tangan saja.

Sebenarnya, memang lebih elok anda makan nasi lima kali sehari supaya kadar metabolisme badan tinggi. Namun ia bergantung juga kepada kemampuan diri seseorang.

Lain orang lain keadaan dirinya dan anda mesti memahami diri sendiri sebelum melakukan sesuatu yang drastik dalam usaha mengekalkan atau menurunkan berat badan.

Saya tidak nafikan tanpa nasi, ia boleh membuatkan berat badan seseorang turun, tetapi ia perlu diimbangi dengan bentuk makanan termasuk sarapan yang mengandungi kalori sewajarnya.

Mengenai amalan tidak makan nasi semata-mata untuk menurunkan berat badan, saya juga akui ramai yang melakukan hal sedemikian.

Namun, banyak aspek yang perlu diambil kira sama ada daripada segi ketinggian, berat badan dan umur seseorang kerana diet yang betul akan memberikan impak yang lebih baik untuk kesihatan diri.

Seseorang yang ingin berdiet boleh makan nasi, tetapi hendaklah mengurangkan kuantitinya seperti separuh daripada segenggam tangan itu. Ia diimbangi pula dengan pengambilan sayur atau lauk.

Selain itu, tenaga yang keluar dan masuk harus diseimbangkan mengikut cara yang betul. Semakin berusia seseorang itu, metabolisme semakin berkurangan. Oleh itu, perlu dicari formula untuk menyeimbangkannya.

Contohnya, anda lepak di kedai mamak dan makan segenggam nasi, lauk ayam, sedikit sayur dan minum segelas air kosong. Hidangan ini elok bagi mereka yang mahu mengekalkan ataupun cuba untuk menurunkan berat badan. Ini disebabkan ia seimbang kerana hanya ada satu bentuk karbohidrat saja iaitu melalui nasi.

Namun berbeza sekiranya anda mengambil segenggam nasi, lauk ayam, sayur dan minum air manis seperti teh tarik atau jus oren. Ini kerana di dalam menu ini terdapat dua sumber karbohidrat iaitu nasi dan minuman manis tadi. Sebab itu saya katakan, anda mesti tahu dan pandai mengimbangi jumlah pengambilan makanan seharian.

Saya tidak galakkan anda meninggalkan nasi malah berasa ia sesuatu yang praktikal lebih-lebih lagi ia makanan ruji kita sebagai masyarakat Asia. Tetapi semua itu terpulang kepada anda sendiri.

Sekali lagi saya tegaskan, jangan salahkan nasi dan amalkan diet praktikal setiap masa. Kemudian, pastikan kuantiti pengambilan protein cukup. Sebagai panduan, pastikan anda mengambil dua hingga 2.5 gram untuk setiap kilogram berat badan anda. Harus diingat, protein lebih mengenyangkan berbanding karbohidrat.

Info Slim Diet II – SENAMAN RINGKAS DI RUMAH

Info Slim Diet II – SENAMAN RINGKAS DI RUMAH

Ketekunan, keazaman serta disiplin penting jika mahu dapatkan bentuk tubuh menarik 

SESETENGAH wanita menghadapi masalah menurunkan berat badan selepas melahirkan anak. Masalah perut buncit dan punggung yang kembang menyebabkan wanita selepas bersalin hilang keyakinan untuk kekal bergaya.

Ketiadaan masa untuk bersenam akibat kesibukan kerja sering kali menyebabkan wanita sukar mendapatkan bentuk tubuh asal.

Pakar Senaman Profesional dari Pusat Kecergasan Jazzercise, Christina Yap memberikan beberapa tip senaman ringkas yang boleh di buat di rumah dan tidak memerlukan masa membabitkan bahagian punggung dan perut.

Katanya, senaman ringkas berkenaan hanya menumpukan kepada bahagian punggung dan perut tanpa memerlukan kerja keras.

“Punggung dan perut buncit adalah otot senang untuk mengembang tetapi paling sukar untuk dikembalikan kepada bentuk asal terutama di kalangan wanita yang baru melahirkan anak.

“Selain melakukan senaman ringkas, ketekunan dan keazaman serta disiplin perlu ada jika tidak usaha mendapatkan bentuk asal tubuh tidak akan berjaya.

“Apa yang penting, senaman perlu dilakukan dengan betul mengikut peraturan ditetapkan. Jika peraturan dan disiplinnya tidak diikuti, hasilnya akan mengecewakan dan menyebabkan wanita terus malas bersenam,” katanya.

Beliau berkata, ada ramai wanita yang mendapatkan tip senaman daripada pelbagai media tetapi mereka tidak mengikut peraturan dan langkah yang di buat.

“Misalnya, untuk membuat tekan tubi (push up), kita beri arahan supaya tangan di bengkokkan dan kepala turun selari dengan tapak tangan, tetapi mereka yang bersenam membuat sebaliknya, mereka bengkokkan tangan tetapi kepala diturunkan tidak selari dengan tapak tangan menyebabkan mereka terpaksa kerja kuat untuk buat senaman itu.

“Apabila itu terjadi, mereka menyatakan senaman berkenaan susah dan enggan meneruskannya. Ini menyebabkan ramai yang bersenam sekerat jalan dan usaha menurunkan berat badan atau mendapat bentuk punggung dan perut ke bentuk asal sukar dicapai,” katanya.

Beliau menjelaskan mengikut arahan yang betul bukan hanya menyebabkan hasil yang diingini tercapai tetapi turut mengurangkan kecederaan ketika bersenam.

Tip Senaman 

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pengasas Pusat Kecergasan Jazzercise, Judi Sheppard Missett menyenaraikan beberapa senaman ringkas yang sesuai untuk mereka selalu sibuk.

Anda hanya memerlukan 10 minit tiga kali sehari untuk bersenam berbanding regim biasa senaman 30 minit. Ia boleh dilakukan di tempat kerja dan di rumah iaitu 10 minit sebelum pergi kerja, 10 minit ketika waktu rehat atau makan tengah hari dan 10 minit sebelum pulang ke rumah. Jika di rumah senaman berkenaan boleh dilakukan ketika anda menonton rancangan kegemaran di televisyen.

Antara gerakan senaman itu ialah: 

1. Turun naik tangga – elak guna lif di tempat kerja.

2. Lebihkan berjalan – Letakkan kereta jauh dari tempat beli-belah supaya dapat bersenam menggunakan kaki.

3. Gunakan alat senaman pemberat dumbbell – simpan sepasang di pejabat atau laci di dapur. Sementara menunggu faks atau kertas dicetak atau jika di rumah ketika anda menunggu sup masak, anda boleh lakukan senaman ringkas menggunakan dumbbell. Senaman ringkas ini sesuai untuk menguatkan otot tangan dan membuang lemak di lengan.