Mu’min peneraju ubat gigi halal.

CYCLE RICH – GET RICH THRU CHARITY.

Mu’min peneraju ubat gigi halal.

Mu’min

MASIH ada lagi segelintir orang menyangka ubat gigi jenama Mu’min bukan milik Bumiputera, hakikatnya syarikat yang mengeluarkan produk penjagaan gigi itu sudah lama dimiliki oleh Bumiputera.

Ketua Pegawai Eksekutif Al-Meswak Mu’min Sdn Bhd (Al-Meswak Mu’min), Zaihal Hazri Abdul Halim menjelaskan, jenama Mu’min adalah milik Bumiputera sejak 2004.

“Mu’min sudah ada di pasaran sejak 2001 yang diasaskan oleh golongan bukan Bumiputera dengan jenama Mukmin pada awalnya. Bagaimanapun, ia telah diambil sepenuhnya oleh usahawan Bumiputera pada 2004, sebelum namanya ditukar kepada Mu’min.

“Pada 2012, saya dan isteri saya, Dr Wan Harzita Wan Mat, seorang doktor gigi pula mengambil alih syarikat ini daripada pengurusan lama,” katanya ketika ditemui di kilangnya di Kota Damansara, Petaling Jaya.

Ketika Zaihal Hazri dan Wan Harzita mengambil alih saham Al-Meswak Mu’min daripada pengurusan lama syarikat itu, produk jenama Mu’min sedang bermasalah.

Namun, ia tidak mematahkan semangat Zaihal Hazri untuk terus membangunkan syarikat itu, sebaliknya beliau nekad dengan keputusannya menerajui syarikat itu kerana sedar dengan potensi jenama tersebut yang kuat dalam pasaran dan dikenali ramai, selain menjadi peneraju ubat gigi halal di Malaysia sejak 2003.

“Kami yakin dengan potensi jenama Mu’min kerana perniagaan ini boleh dikembangkan bukan setakat ubat gigi sahaja, tetapi juga produk penjagaan diri dan isi rumah. Lagipun, agak sukar untuk kita bina semula jenama baharu.

“Mu’min juga pernah menerima anugerah perak menerusi ‘Brand Equity Awards’ pada 2008 sebagai antara jenama Malaysia terkenal yang berjaya menewaskan beberapa jenama antarabangsa lain,” katanya.

Sebelum menguruskan jenama Mu’min, Zaihal Hazri pernah menceburkan diri dalam perniagaan telekomunikasi dan mempunyai perniagaan ternakan ikan laut dalam.

“Semasa dalam perniagaan ternakan ikan ini, saya berkesempatan bertemu dengan pengasas produk Mu’min dan dia beritahu potensi produk ini. Ia membuatkan hati saya terbuka untuk buat kajian mengenai jenama ini.

“Walaupun ketika itu Mu’min sedang menghadapi masalah, namun sebagai usahawan, saya yakin ia boleh diatasi,” katanya.
Lakukan penjenamaan semula

Mu’min
Selepas menerajui Al-Meswak Mu’min, beliau mengatur rancangan dengan membangunkan semula syarikat dan melakukan penjenamaan semula terhadap produk Mu’min.

“Saya melabur RM1.3 juta untuk lakukan penjenamaan semula terhadap ubat gigi Mu’min dengan membuat penambahbaikan pada label dan kotak ubat gigi. Kami letak ‘tagline’ ‘Peneraju Ubat Gigi Halal No 1 Malaysia’.

“Pada masa sama, kami juga klasifikasi produk kepada tiga kategori iaitu nilai untuk wang yang dijual pada harga serendah RM2.50 di kedai runcit kawasan kampung (kotak merah), kategori premium (kotak hijau) dan kategori ‘Max Oral Care’ (kotak putih),” katanya.

Menurutnya, sebelum itu, ubat gigi Mu’min hanya mempunyai dua atau tiga jenis termasuk ubat gigi kanak-kanak.

“Kini, ubat gigi Mu’min bagi segmen kanak-kanak iaitu Mu’min Junior ada empat perisa berbeza iaitu Anggur, Oren, Buah-Buahan dan Strawberi.

“Pada tahun sama kami ambil alih syarikat, kami telah mengeluarkan Mu’min B’sugi dengan 90 peratus daripada kandungannya adalah ekstrak kayu sugi untuk menggalakkan orang ramai bersugi. Ini kerana, kebanyakan ubat gigi kayu sugi yang ada di pasaran hanya mengandungi lima peratus kandungan kayu sugi,” katanya.

Berbanding pesaing lain, Zaihal Hazri berkata, ubat gigi Mu’min hanya menggunakan bahan-bahan asli.

“Ubat gigi Mu’min juga selamat jika tertelan. Kami juga tidak menggunakan Florida untuk hasilkan ubat gigi kerana walaupun ia dikatakan baik untuk gigi kita, namun Florida ini merupakan bahan buangan daripada industri dan ada kesan sampingan.

“Kami juga tidak menggunakan Triclosan dan alkohol. Sebaliknya, kami gantikan dengan bahan berasaskan sawit,” katanya.

Kini, rangkaian produk ubat gigi Mu’min dijual di 420 pasar raya dan pasar besar di seluruh Malaysia dan telah memasuki pasaran Oman.

Pada tahun ini, Zaihal Hazri merancang melakukan eksport secara agresif di China, Beijing, Oman dan Indonesia.

“Kita juga berhasrat meneroka pasaran baharu di negara Asean dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC),” katanya.
Bakal keluar 42 produk baharu

Mu’min
Bukan mudah untuk mengekalkan suatu jenama bertahan dalam pasaran dan perkara itu turut diakui Zaihal Hazri.

Menurutnya, Mu’min terpaksa bersaing dengan sekurang-kurangnya 30 pemain dalam industri ubat gigi yang banyak ditawarkan di pasaran termasuk jenama tempatan dan antarabangsa.

Menyedari hal itu, Zaihal Hazri memikirkan beliau perlu mencari jalan mengembangkan perniagaannya dan tidak terlalu bergantung pada pengeluaran ubat gigi.

Daripada ubat gigi, Zaihal Hazri berhasrat mengembangkan jenama Mu’min dengan pengeluaran produk penjagaan diri dan isi rumah.

Beliau berkata, pada tahun ini, Al-Meswak Mu’min bakal mengeluarkan 42 produk baharu secara berperingkat, yang kesemuanya telah mendapat kelulusan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menurutnya, syarikat itu telah memperkenalkan tiga produk iaitu ubat kumur, gel mandian serta losyen tangan dan badan, pada suku pertama tahun ini.

“Sekarang, produk ini sudah masuk ke dalam pengedaran gudang dan dijangka akan berada di pasaran pada Mac ini.

“Untuk produk seterusnya, kami akan segmenkan produk itu untuk kategori lelaki, wanita dan kanak-kanak menerusi sub jenama,” katanya.

Setakat ini, Al-Meswak sudah mengeluarkan 16 jenis produk yang berharga dari RM2.50 hingga 8.90.

Bagi memastikan pengeluaran produk memenuhi permintaan pasaran, Zaihal Hazri berkata, Al-Meswak Mu’min melabur lebih RM10 juta untuk pembinaan kilang di kawasan seluas lima ekar di Kepala Batas, Pulau Pinang.

“Kilang ini akan menjadi pusat sehenti bagi semua pengeluaran produk kami iaitu ubat gigi, produk isi rumah dan penjagaan diri.

“Projek pembinaan akan bermula pertengahan tahun ini dan dijangka boleh memulakan operasi pertengahan tahun depan. Buat masa ini, kami memproses sebahagian produk Mu’min di kilang kami di Kota Damansara, manakala sebahagiannya kami ambil kontrak pengilangan (OEM),” katanya.

Beliau berkata, Al-Meswak Mu’min optimis untuk mencapai sasaran jualan RM30 juta pada tahun ini didorong dengan pengeluaran produk baharu.

sumber : sinarharian.com

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s