Petua menambah susu ibu

Petua menambah susu ibu

Beberapa tahun kebelakangan ini semakin ramai ibu-ibu yang menyedari akan kepentingan menyusukan bayi mereka dengan susu ibu.  Perkara ini adalah satu perkembangan yang amat positif kerana kebaikan susu ibu itu sendiri.  Titisan susu ibu yang kaya dengan pelbagai khasiat dan nutrien akan dapat diserap ke dalam tubuh bayi yang amat diperlukan untuk tumbesaran mereka.

Akan tetapi terdapat juga ibu-ibu muda yang sering merungut dan mengatakan “Saya tiada susu”, “Susu badan kering”, “Susu ibu kurang, tak cukup.. kena tambah susu formula”.  Adalah amat disarankan bakal ibu atau ibu-ibu muda untuk menambah ilmu penyusuan susu ibu supaya lebih berkeyakinan dalam menangani cabaran psikologi atau persepsi negatif dari orang sekeliling atau si ibu sendiri.

Terdapat pelbagai petua dan cara menambah susu ibu yang boleh diamalkan.  Di sini saya kongsikan di antaranya:

 Pemakanan penggalak susu (milk booster)

Terdapat pelbagai makanan/tumbuhan yang dikelaskan sebagai penggalak susu/milk booster. 

Antaranya ialah:

Lobak putih

– Sesuai dimasak sup bersama daun kucai dan ikan bilis.  Boleh juga dikikis dan direndam di dalam air suam sebelum diminum begitu sahaja.

Buah longan kering

– Rebus longan kering bersama kurma kering, kismis atau barli.  Lebih sedap jika dimasukkan sedikit gula merah.

Kurma

– Makanan sunnah yang kaya dengan pelbagai khasiat, di antaranya adalah protein, serat, glukosa, vitamin A, vitamin C, sodium dan potassium.  Ia juga kaya dengan zat besi dan membekalkan kalori segera yang diperlukan terutamanya buat ibu hamil dan menyusu

Pucuk betik/Betik muda

– Pucuk betik atau betik muda boleh dimakan mentah dan dimakan bersama nasi sebagai ulam-ulaman.

Halba/Fenugreek

– Rendam sedikit halba dengan air suam dan minum airnya.  Boleh juga diletakkan di dalam masakan seperti sup, kari atau nasi.

Habbatus sauda/Jintan hitam/Black seed

– Salah satu makanan sunnah yang diamalkan Rasulullah.  Amat berkhasiat sehinggakan Rasulullah pernah bersabda bahawa ia berupaya mengubati pelbagai penyakit kecuali maut.  Boleh didapati dalam bentuk kapsul.

Moringa/murunggai/pokok kelor

– Pokok murunggai terkenal di kalangan masyarakat India dan dikenali sebagai pokok kelor dalam masyarakat Melayu kita.  Selain menambah susu ibu ia juga sesuai dimakan ketika sakit tekak ataupun selesema. Boleh didapati dalam bentuk kapsul dan uncang teh.

Jantung pisang

– Boleh di celur dan dimakan seperti ulam-ulaman atau dimasak gulai lemak.

Daun cekur manis/pucuk manis

– Sedap dimasak gulai lemak sepertimana ulam jantung pisang.

Kacang soya

– Makanan berasaskan kacang soya seperti air soya, tempe atau tauhu diketahui umum berupaya menambah pengeluaran susu ibu. Walaubagaimanapun, pengambilan susu soya buatan sendiri adalah tidak digalakkan kerana kemungkinan besar anda akan terdedah kepada kesan negatif kacang soya yang tidak diingini.

Pengambilan Air

– Haruslah diingat bahawa ibu menyusu mestilah kerap meminum air masak supaya tidak mengalami dehidrasi atau kekurangan air dalam badan.  Dehidrasi boleh membuatkan susu ibu menjadi kurang.  Oleh itu, ibu menyusu haruslah meminum air masak (plain water) sekurang-kurangnya 2 liter sehari.

Pemakanan seimbang

– Pemakanan ibu menyusu haruslah seimbang seperti mana yang disarankan dalam piramid kesihatan.  Lebihkan sayur-sayuran hijau dan buah-buahan dalam diet seharian.  Selain matlamat menyusukan bayi, para ibu haruslah menjaga kesihatan diri.

Psikologi

Susu saya cukup untuk bayi saya!

Dari sudut psikologi pula, digalakkan para ibu berfikiran positif dengan beranggapan bahawa susu ibu yang dihasilkan adalah mencukupi untuk bayi. Elakkan dari stress atau tekanan kerana ia akan mempengaruhi pengeluaran susu ibu.  Sentiasa tetapkan dalam minda yang mengatakan bahawa susu saya cukup untuk bayi saya.  Insha-Allah, ibu akan berasa lebih tenang dan tidak tertekan, seterusnya dapat meningkatkan pengeluaran susu ibu.

Kekerapan mengepam

– Pengeluaran susu ibu adalah berdasarkan kepada konsep supply and demand.  Apabila anda semakin kerap menyusukan atau mengepam susu, otak mendapat signal untuk menghasilkan lebih banyak susu untuk bayi anda.   Mengepamlah dengan konsisten tanpa menunggu payudara bengkak/breast penuh.  Lebih kerap payudara dikosongkan, lebih banyak susu ibu yang akan terhasil.  Sebaik-baiknya mengepamlah setiap 2-3 jam sekali terutamanya semasa bayi tiada bersama anda.

Doa

– Amalkan zikir-zikir untuk menambah susu seperti Ya Maatin, selawat dan sebagainya.  Sentiasalah berdoa supaya anda berjaya menyusukan anak anda sehingga berumur dua tahun terutamanya  setiap kali selepas solat.

 

SEKS DALAM PERKAHWINAN

SEKS DALAM PERKAHWINAN

SEBAGAI PANDUAN BAGI MEREKA YANG DAH DAN BAKAL MENEMPUH ALAM PERKAHWINAN SEKS DALAM PERKAHWINAN

“Isteri-isterimu adalah (seperti) tanah tempat kamu bercucuk tanam, maka kerjakan tanah tempat bercucuk tanam itu bagaimana saja kamu kehendaki. Dan lakukan (amal yang baik) untuk dirimu, dan bertaqwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa kelak kamu akan menemuiNya. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman”. 
(Al Quran, Surah Al Baqarah Ayat 223) 

Pentingnya seks dalam perkahwinan adalah digambarkan saperti maksud surah diatas. Dan juga membawa kepada beberapa akibat buruk jika tidak dipenuhi. Terjadinya kes-kes penceraian kebanyakan disebabkan kurang berperanannya seks dalam rumahtangga. 
Jadi tegasnya seks mempunyai peranan penting dalam perkahwinan, baik untuk menyalurkan libido seksual manusia ataupun untuk mendapat keturunan. Oleh sebab itu kalau kehidupan seks tidak dihormati dan diperhatikan dalam perkahwinan maka perkahwinan itu kehilangan dasar ghairah. 

Dari sudut seks, perkahwinan merupakan suatu bentuk tanggungjawab manusia terhadap akibat-akibat nafsu berahi. Perkahwinan pada dasarnya adalah suatu bentuk aktiviti seks yang bertanggungjawab serta halal kerana dalam perkahwinan telah ditetapkan ketentuan- ketentuan yang harus dipatuhi oleh suami isteri, terutamanya dalam bidang seksual yang memang merupakan hajat utama dalam perkahwinan. 

Ternyata, ramai orang yang kurang menyedari tentang hal ini, baik dari pihak suami atau isteri, bahkan kadang-kadang kedua-duanya. Yang lebih teruk kalau kesedaran itu tidak wujud dari salah satu pihak. 

Yang satu mengkehendaki agar kehidupan seksnya dapat dipenuhi sepuas- puasnya, sedang yang satu lagi kurang menyedari keperluan lawannya. Sehingga terjadilah penyelewengan seksual. Bila keadaan sudah demikian, tidak mungkin suami isteri dapat membina rumahtangga dengan baik dan harmonis. 

Juga terdapat kehidupan suami isteri di mana kedua-duanya sedar dan faham akan erti seks dalam perkahwinan. Akan tetapi dari salah satu pihak kadang-kadang terlalu ego, mementingkan kepuasan sendiri tanpa mempedulikan keperluan lainnya. Biasanya hal demikian ini selalu dilakukan oleh pihak suami. 

Cinta seseorang lelaki itu ingin selalu memonopoli. Kerana seks itu adalah bahagian utama dari percintaan, maka monopoli di bidang seks tetapi menjadi hajat suami. Akhirnya lalai memikirkan keperluan seks isterinya, suami bertindak menurut kemahuannya sendiri untuk memperoleh kepuasan.

Isteri hanya mahu menanti dan bahkan tidak pernah diberi peluang untuk mencapai kepuasan. Tentu terjadi gejolak, bila menimpa isteri yang kebetulan agak lemah imannya, mungkin akan melakukan perbuatan tidak bermoral seperti melakukan perzinaan dengan lelaki lain yang sanggup memberi kepuasan seks kepadanya. Atau si isteri tunjukkan rasa sakit hatinya itu dengan suka marah-marah, mudah tersinggung, sakit-sakitan dan sebagainya.

 
Apa yang dikemukan agar mendapat perhatian para suami, betapa pentingnya peranan seks dalam perkahwinan. Betapa pun kuatnya rasa cinta tapi kalau sifat egoisme ini tetap tidak bisa dihilangkan tentu akan membawa kesuraman dalam perkahwinan. Jadi harus ada keseimbangan dari suami isteri di mana mereka secara bersama bertanggungjawab memberi kepuasan. 

Firman Allah Taala yang bererti: 
“Mereka itu (isteri) adalah pakaian bagimu, dan kamupun adalah pakaian bagi mereka”. 
(Al Quran,Surah Al-Baqarah Ayat 187) 

Dari ayat itu memberi penjelasan bahawa suami dan isteri mempunyai tanggungjawab yang sama dan seimbang di dalam bidang seks. Kalau suami mahu kepuasan seks, begitu juga isteri tentu mempunyai keinginan yang sama. 

Sebagaimana dalam surah Al-Baqarah, ayat 223, maka isteri diumpamakan sebagai kebun tempat bertanam. Lazimnya petani tentu tidak mahu menggarap kebunnya dengan membuta tuli. Tentu dirawat dan dipeliharanya dengan baik agar hasilnya memuaskan. 

Begitu juga seorang isteri ia pun wajib diperhatikan. Keperluannya harus dipenuhi menurut kemampuan termasuk dalam masalah seks. Sehingga di dalam permainan seks isteri tidak tergolek (sendirian), di tempat pembaringan dengan sinar matanya yang sayu kerana memendam kekecewaan. Sedang di pihak suami dengan kesedapan telah tidur berdengkur di samping isterinya kerana hajat seksualnya telah dipenuhi sepuas-puasnya. 

Andaikata isteri yang mengabaikan tuntutan suaminya dalam masalah seks, tentu si suami di mana setiap harinya bekerja kuat menanggung keluarga, pastilah mengharapkan layanan yang istimewa dalam erti tidak dikecewakan. Dorongan seks yang datangnya tiba-tiba memerlukan layanan isteri. Ia harus pandai menghiaskan dirinya sehingga suaminya tidak merasa bosan. Apatah lagi pada malam hari di mana waktu malam adalah waktu yang paling baik untuk melakukan hubungan seks. 

Sekiranya hal-hal seperti ini diabaikan, tidak aneh jika suami selalu beralih pandangan kepada wanita lain untuk menyalurkan keperluan seksnya. Apalagi kalau kebetulan suami itu kurang kuat dalam memegang hukum agama, mungkin melakukan zina. 

Sebuah hadis menyatakan: 

“Jabir berkata: “Kami bersama-sama dengan Nabi Muhammad s.a.w. dalam suatu peperangan. Ketika kami kembali ke Madinah, kami hendak masuk (ke rumah-rumah kami). Maka beliau bersabda: “Sabarlah, sampai masuk malam, agar isteri berhias dari kusut masai dan berdandan (berhias) perempuan yang (lama) dtinggalkan oleh suaminya.” 

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) 
Dari hadis di atas memberi pengajaran iaitu: 


a) Ketika pulang dari berpergian yang lama pada waktu malam, janganlah tergesa-gesa masuk ke dalam rumah. Larangan ini dapat dimaklumi kerana pada waktu malam boleh menimbulkan kecurigaan. Atau juga untuk menghindarkan kecurigaan dari suami bila menemui hal-hal yang di luar kebiasaan perilaku isterinya sehari-hari. 


b) Berilah kesempatan kepada isteri agar berhias diri sewaktu menyambut kedatangan suaminya. Ini bererti suatu perintah agar para isteri itu supaya bersiap sedia menerima hajat suami dalam keadaan memuaskan dipandang mata, iaitu dengan berhias diri. Perpisahan yang agak lama antara suami isteri membuatkan kerinduan keduanya terutama bagi suami. Agar supaya kerinduan itu dapat terubat maka sudah seharusnya isteri berdandan untuk menarik perhatian suaminya melampiaskan kerinduan seksnya. 


Jelaslah Islam membimbing umatnya antara lain agar suami dan isteri memberikan layanan yang baik dalam bidang seksual. Sebab betapa pun banyak tujuan-tujuan yang baik dan murni orang melaksanakan perkahwinan, akan tetapi tujuan seksuallah yang sangat menonjol. Oleh kerana itu peranan seks dalam perkahwinan janganlah diabaikan. 


Suami isteri wajib menjunjung tinggi peranan seks dalam perkahwinan, kalau keduanya tidak ingin perkahwinannya mengalami kegagalan. Saling memberikan kepuasan dalam bidang seksual antara suami dan isteri adalah langkah yang baik.

9 Sebab Bayi Anda Menangis

9 Sebab Bayi Anda Menangis

Bayi  yang selalu menangis menimbulkan perasaan yang tidak senang kepada ibubapa terutama jika  tangisannya  berterusan hingga beberapa jam atau berterusan di waktu jauh malam. Perasaan resah  selalu dirasai oleh ibubapa  kerana khuatir kalau – kalau  bayi mereka menghidap sesuatu penyakit.  Menangis ialah satu cara seseorang bayi itu menyatakan perasaan atau emosinya dan ibubapa mestilah cuba memahami sebab – sebab bayi mereka menangis supaya langkah yang sewajarnya dapat diambil.

Ada orang yang mengatakan ‘biarlah bayi itu menangis, elok untuk paru – parunya’ atau ‘ biarlah bayi itu menangis, apabila dia letih dia akan berhenti dengan sendirinya’.  Anggapan ini adalah tidak benar.

Seseorang ibu perlu mengetahui sebab – sebab bayinya menangis supaya dia lebih senang menghadapi keadaan ini dan memerlukan pertolongan atau nasihat daripada ibunya sendiri, wanita lain yang lebih berpengalaman atau daripada doktornya sendiri. Selalu terdapat bayi-bayi yang kerap menangis dan kurang tenteram jika ibunya berinteraksi dengannya dalam keadaan cemas, resah atau tergesa-gesa.

Berikut adalah 9 sebab bayi menangis.

1. Lapar 

– Salah satu sebab mengapa bayi menangis. Tangisan lapar selalunya berpanjangan dan iramanya teratur. Jika dibiarkan, tangisan tersebut akan menjadi semakin kuat. Jika bayi menangis begini terutama setelah anda memberinya makan atau menyusuinya kira-kira satu atau dua jam sebelumnya, ini bermakna bayi anda sudah mula haus atau lapar semula.

2. Lampin Basah 

– Lampin yang terlalu basah atau sudah kotor dengan najis juga akan membuatkan bayi berasa tidak selesa. Dan mereka hanya dapat menyatakan rasa tidak selesa itu melalui tangisan. Tangisannya lebih kurang sama dengan tangisan lapar, namum tidak terlalu kuat. Jika anda cuba memberinya susu dan dia tidak mahu namum masih menangis, periksalah lampinnya kerana ia mungkin penyebab mengapa bayi anda menangis.

3. Kesejukan 

– Bayi yang baru lahir akan terasa tenang dan selesa apabila dibedung kerana ia membantu memberi kehangatan pada tubuhnya seperti sewaktu di dalam rahim ibunya. Kerana itu apabila anda membuka bajunya, dia mungkin akan menangis sebagai tanda bahawa dia berasa sejuk dan hilang kehangatan yang diperlukan tubuhnya. Tangisannya kedengaran seperti rintihan. Apabila anda telah membedungnya semula, barulah dia mula berhenti menangis.

4. Tidur Dalam Pelukan 

– Bayi sudah mula mengenal ibunya sejak dari dalam rahim lagi. Dia mula cam akan suara ibunya, bau tubuh ibunya malah degupan jantung si ibu termasuk baususu badan anda. Kerana itu bayi senang jika setelah disusui. dia tertidur dalam pelukan anda. Jika menangis setelah dimandikan atau disusui, cubalah dukung dalam pelukan anda untuk mendodoikannya.

5. Keletihan 

– Bayi yang masih cuba untuk menyesuaikan diri dengan persekitarannya mudah membuat waktu rehatnya terganggu. Kadangkala gangguan di sekelilingnya juga membuat tidurnya kerap terganggu. Ini membuat bayi berasa letih kerana tidak dapat tidur dengan tenang dan menyebabkannya sentasa menangis dan meragam. Cuba hindari gangguan tersebut dan sebaiknya tempatkan bayi dipersekitaran yang tenang agar tidak mengganggu tidurnya.

6. Banyak Gangguan 

– Bayi yang kecil dan comel memang mudah menjadi perhatian orang disekelilingnya. Selain anda, ahli keluarga yang lain juga pasti mahu turut sama untuk melayan sikecil anda. Sebentar dia didukung oleh orang ini dan sebentar kemudian beralih ke tangan lain pula. Keadaan ini boleh menyebabkan bayi berasa tidak selesa dan terganggu yang akhirnya menyebabkan dia menangis kerana stimulasi yang berlebihan daripada ramai orang yang tidak dikenalinya. Tenangkan si kecil anda dengan membawanya ke tempat yang tenang untuk membataskan gangguan daripada orang lain.

7. Bosan 

– Bayi menangis bukan semestinya kerana lapar atau lampin yang basah. Tahukah anda, bayi juga boleh berasa bosan dengan rutin dan persekitaran yang sama dilaluinya setiap hari dan menzahirkannya melalui tangisan. Kerana itu tidak salah jika anda sering membawa bayi keluar berjalan. Persekitaran yang penuh dengan warna warni mudah menarik perhatiannya.

8. Sakit 

– Tangisan sakit berbeza daripada tangisan lapar. Tangisan sakit kedengaran lebih kuat. Bayi menangis dengan keras dan nada tinggi dan adakalanya seperti menahan nafas kerasa rasa sakit yang dirasakannya. Anda sendiri boleh kenal bahawa si kecil anda menangis kerana sedang menahan kesakitannya. Bawa segera berjumpa doktor.

9. Kolik, Kembung Perut 

– Secara purata, satu daripada lima bayi akan mengalami kolik pada 3 bulan pertama usianya. Ia menyebabkan bayi asyik menangis hingga 3 jam sehari. Mukanya menjadi kemerahan, perutnya terasa tegang dan menangis sambil menarik atau menegangkan kakinya. Ia lebih kurang sama jika bayi masuk angin atau mengalami kembung perut dan menyebabkannya menangis. Menangani keadaan ini memang agak sukar dan memerlukan kesabaran. Cubalah tenangkannya dengan mendodoikannya sambil mengusap lembut badannya atau menepuk-nepuk punggungnya. Anda juga boleh menyapukan minyak telon pada perutnya.

Begitulah 9 sebab bayi menangis. Sebagai ibu bapa, kita perlu bersedia untuk menghadapi situasi ini. Pelajari seberapa banyak ilmu yang ada melalui bahan bacaan seperti buku, layari internet atau bertanya kepada ibu bapa kita mengenai cara terbaik untuk menangani bayi menangis.

7 Senjata ‘Sulit’ Isteri Untuk Memikat Suami

7 Senjata ‘Sulit’ Isteri Untuk Memikat Suami

Sebagai seorang isteri, pernahkah anda tahu bahawa anda sebenarnya mempunyai beberapa senjata ‘sulit’ yang dianugerahkan Tuhan untuk memikat dan merangsang suami anda?

Apabila anda tahu apakah senjata-senjata sulit di tubuh anda itu, tahukah pula bagaimana anda menggunakannya untuk ‘menundukkan’ suami anda agar terus jatuh cinta kepada anda?

Sebagai seorang isteri kita sebenarnya mempunyai pelbagai keistimewaan yang membolehkan kita memikat hati suami berlandaskan apa yang ada pada diri kita.

Mungkin kita pernah terfikir, sebagai seorang lelaki, suami anda sebenarnya mahukan ‘kelainan’ dari tubuh anda, sedangkan sebaliknya, mereka sebenarnya lebih suka dengan apa yang dikatakan keindahan asli daripada tubuh isteri mereka.

Jadi tidak perlulah kita sebagai isteri membahayakan diri melakukan pembedahan plastik semata-mata untuk mendapatkan tubuh yang ‘maha mengancam’ pada pandangan suami.

Berikut diberikan tujuh perkara utama yang boleh menjadi senjata sulit isteri memikat suami.

Selepas isteri tahu apakah senjata-senjata berkenaan, silalah gunakan dengan sepenuhnya untuk memikat hati suami anda, terutama apabila anda mengetahui dan dapat melihat jauh di lubuk hati lelaki yang bergelar suami terdapat satu daerah lembut di dalam hati mereka yang mengidamkan kecantikan dalaman kita yang asli.

Tidak syak lagi kini, si isteri itu sebenarnya adalah cantik dan memberahikan pada mata suami. Terpulang kepada isteri menggunakan kebijaksanaannya dan apa yang ada pada dirinya untuk memikat hati suaminya.

Rambut

Rambut umpama mahkota kepada kaum wanita, ia juga sebenarnya boleh dijadikan sumber tarikan tersendiri sebagai daya pemikat isteri yang asli. Rambut isteri yang ikal mayang, bersih, berkilat dan berbau harum adalah sumber pemikat utama kepada suami. Rambut yang berbau harum dengan haruman syampu yang digunakan akan menyebabkan suami suka membelai dan melalukan jari-jemari ke dalamnya ketika bersama.

Mata

Tuhan menganugerahkan mata yang bersinar kepada isteri. Tidak semestinya mata itu bulat, bundar, sepet atau kuyu. Mata sebenarnya boleh memuntahkan inspirasi cinta dan cerita. Pandangan mata juga boleh memberikan 1001 perasaan yang tidak dapat digambarkan. Suami boleh jadi ‘cair’ dengan pandangan isteri. Renungan isteri yang mendalam dan menggetarkan jiwa si suami boleh menyebabkan golongan Adam ini akan kehilangan ungkapan untuk ditafsirkan, bak kata, ”sayang, saya rasa seolah-olah melayang ketika melihat ke dalam matamu.”

Kulit

Kulit adalah satu anugerah kepada wanita. Permukaannya yang licin, lembut, gebu dan bersih serta mulus adalah menjadi dambaan setiap suami ingin menyentuhnya. Justeru, jaga kulit badan anda agar sentiasa bersih agar ia rasa selesa apabila disentuh suami.

Tulang selangka dan lengkung leher

Daerah ini amat menjadi perhatian kepada suami apatah lagi menjadi tempat yang paling mulus untuk menjadi tempat singgahan ciuman suami dan ia juga sebenarnya daya penarik semua wanita.

Sekitar pusat

Bayangkan bahagian di sekitar pusat anda juga sebenarnya menjadi satu tempat yang amat memberangsangkan suami. Cuma di sini tentulah perlu selalu dijaga kebersihannya dan pusat anda akan lebih indah sekiranya anda kekal ‘langsing’ dengan pinggang terbentuk.

Lentuk liuk tubuh

Ini bukan satu perkara yang dibuat-buat. Lentuk liuk tubuh isteri yang manja ketika bersama suami sebenarnya adalah satu daya penarik yang boleh menggoda si suami. Ini termasuklah cara kita melenggang ketika berjalan, potongan punggung, saiz belakang badan dan sebagainya. Bersyukurlah, tubuh kita sebagai isteri ada segalanya untuk menghangatkan bibit-bibit kemesraan bersama suami.

Payu dara

Ops, ini kalau tidak diterangkan pun semua orang tahu. Secara fizikalnya, tidak kiralah apa saiznya, sama ada kecil atau besar pihak suami pasti suka melihat di bahagian ini. Bukan sekadar melihat, suami juga sebenarnya suka menyentuhnya untuk berbuat apa sahaja kerana sebenarnya pada fikiran mereka, ini juga sesuatu yang menjadi hak ‘milik’ mereka.

Kenali Corak Pergerakan Bayi Anda.

Kenali Corak Pergerakan Bayi Anda.

Aktiviti bayi iaitu menendang, berguling dan bergoyang yang anda rasai berbeza sepanjang tempoh kehamilan. 

Pengalaman merasai bayi berputar, menggeliut, menumbuk, menendang dan tersedu merupakan salah satu daripada fasa kehamilan yang anda lalui. Ada ketikanya anda mungkin gusar tentang pergerakan bayi. Persoalan seperti adakah bayi cukup menendang atau terlalu banyak selalu muncul di minda. Tidak kurang juga ada yang beranggapan bayi mempunyai 2 pasang kaki disebabkan kekerapan dia menendang.

Trimester Pertama
Bermula daripada awal usia kehamilan hingga penghujung 3 bulan pertama, trimester awal ini merupakan masa di mana perkembangan pantas dan menakjubkan berlaku. Namun, jangan pula menjangka sebarang pergerakan bayi. Ketika ini, bayi masih terlalu kecil untuk membolehkan anda mengalaminya. Biarpun begitu, di dalam rahim, ketahuilah dia sudah boleh melonjak tetapi sayangnya, anda tidak mungkin dapat merasainya.

Trimester Kedua
Pada trimester ini, bayi anda sudah mampu sekurang-kurangnya menghisap ibu jari, menendang dan menghentam. Sesetengah wanita yang terlalu kurus atau yang pernah hamil sebelum ini mungkin boleh merasai pergerakan pertama bayinya seawal bulan ke-4. Namun, kebanyakan wanita tidak perasan atau mengenal pasti sentakan dan pergerakan pantas di mana ia dapat dirasai seperti angin atau kekejangan otot.

Pada bulan ke-5 pula, kebanyakan wanita dapat merasai kegelisahan dan rasa gemuruh bayi. Pergerakan bayi akan mula menjadi seperti gerakan akrobatik sebaik sahaja ototnya kuat dan kemahiran motornya berkembang. Namun, dia masih kecil untuk melakukan pergerakan tungging terbalik.

Apabila anda mula merasai “karate” pertamanya, jangan panik jika ia berlaku semula selepas beberapa jam. Malah ada juga yang merasainya selepas sehari atau dua. Pada tahap ini, saiz bayi masih kecil. Jadi, adalah normal untuk anda tidak merasai pergerakan yang tetap. Walau bagaimanapun, jika anda tidak merasai sebarang pergerakan sehingga pertengahan bulan ke-5, pastikan doktor yang merawat melakukan ujian imbasan ultra bunyi untuk memantau keadaan bayi.

Bayi akan mula banyak bergerak setelah usianya mencecah 6 bulan. Pergerakan kakinya lebih mengikut irama dan anda akan mula perasan tepukan kaki si kecil. Disebabkan kesibukan anda menjalani rutin harian, anda mungkin perasan bahawa bayi lebih aktif sebaik anda beristirehat terutamanya di waktu malam. Malah selepas anda mengambil snek pun, dia menjadi aktif apabila kandungan gula dalam darah memberi tenaga tambahan kepadanya. Antara lain, sewaktu anda berasa gemuruh, pengalaman yang sama dapat dirasai kerana adrenalin memberi kesan yang sama kepada bayi.

Trimester Ketiga
Pada usia kandungan 7 bulan, rahim semakin sempit. Namun, bayi masih mempunyai ruang untuk berpusing dan melambung. Dia juga semakin kuat. Jadi, tumbukannya benar-benar boleh membuatkan anda terkejut. Perlu anda ingat! Bayi adalah individu. Corak pergerakannya dengan bayi yang lain adalah berbeza. Jadi, jangan bandingkan pergerakannya dengan bayi dalam kandungan wanita yang lain. Malah, anda jangan tertekan jika bayi kurang aktif.

Berat bayi yang semakin bertambah pada usianya 8 bulan membuatkan ruang dalam rahim semakin sempit. Pergerakan akrobatiknya semakin berkurangan tetapi anda akan tetap boleh merasai dia menggeliang geliut dan berputar. Pada ketika ini juga, anda mungkin boleh merasai tusukan siku dan lututnya.

Pada usianya 9 bulan, anda tidak dapat merasai tendangan yang menumbuk-numbuk tetapi lebih kepada senggutan dan sepakan hingga menyentak anda daripada apa sahaja yang sedang anda lakukan ketika hal ini berlaku. Malah, anda mungkin akan mengalami kesakitan setiap kali kaki bayi terkena rusuk anda. Untuk melegakannya, ubah posisi atau miringkan pelvik anda.

Pergerakan Di Akhir Kehamilan
Pada minggu-minggu terakhir, bayi akan berada di dalam mangkuk pelvis dan bersiap sedia untuk dilahirkan. Kepala bayi dapat dirasai seolah-olah sebiji tembikai yang menekan lantai pelvis.

Pergerakan Pertama
Kebanyakan wanita akan merasai pengalaman tendangan pertama bayi sekitar minggu ke-13 hingga ke-25. Sesetengahnya dapat merasai bayi bergerak seawal minggu ke-13 hingga ke-16. Pergerakan pertama ini dikenali sebagai quickening. Ia sering digambarkan sebagai getaran. Ia mungkin sukar untuk tentukan sama ada apa yang anda rasai ialah angin atau pergerakan bayi. Namun, lama-kelamaan anda berupaya mengenal pasti corak pergerakannya. Ibu yang pertama kali hamil mungkin tidak dapat merasai pergerakan ini seawal seperti yang dialami oleh ibu hamil beberapa kali. Ketahuilah, ada ibu baru yang langsung tidak berpeluang melalui pengalaman ini sehingga kehamilannya masuk minggu ke-18 hingga ke-20.

Apabila kepala bayi “turun” ke dalam pelvis, anda akan terasa “ringan”, disebabkan kurangnya tekanan yang dahulunya berlaku di bawah tulang rusuk. Pada peringkat ini, anda tidak lagi merasai pergerakan yang biasa dilakukan bayi. Sebaliknya, anda mungkin mengalami tendangan yang tidak henti-henti di bawah tulang rusuk sama ada di sebelah kiri atau kanan (dipengaruhi oleh posisi bayi).

Carta Tendangan
Kebanyakan wanita dinasihatkan supaya mengesan pergerakan bayi dengan menggunakan carta tendangan. Anda perlu merekod pergerakan bayi sehingga jumlahnya mencecah 10 tendangan. Sebaik-baiknya pada waktu yang sama setiap hari. Carta ini membantu anda memahami pola gerakan bayi. Sekiranya terdapat sebarang perubahan dalam pola tersebut, berjumpalah dengan doktor anda dengan segera untuk mengetahui puncanya.

Bayi Tersedak Susu

Bayi Tersedak Susu

Lagi bayi meninggal kerana tersedak susu – punca bayi tersedak susu dan langkah mengatasi

Gejala tersedak susu ini sering terjadi kepada bayi.Tetapi ianya boleh di atasi dan di kawal dengan menggunakan langkah mahupun teknik tertentu.Kes ini perlu diambil serius berikutan meningkatnya laporan kes bayi yang mati berpunca daripada tersedak susu

Menurut Dr Anthony James Mansul, Perunding Pediatrik Pusat Perubatan Prince Court, faktor yang boleh mengganggu penyusuan bayi dan menyebabkan tersedak ialah

  • gejala seperti selesema
  • bayi tidak cukup bulan atau tidak sihat
  • proses menyusukan bayi dalam keadaan yang tidak betul

Antara nasihat doktor kepada ibu yang anaknya kerap tersedak ialah

  • Memerah sedikit susu dari payu dara bagi mengurangkan tekanannya ketika bayi menyusu atau periksa puting botol susu untuk memastikan lubangnya tidak terlalu besar
  • Jika bayi masih lagi tersedak, jumpa doktor untuk pastikan keseluruhan saluran udara, pernafasan, lidah dan mulut bayi tiada masalah dan tidak sakit
  • Jika semuanya baik, mungkin teknik penyusuan yang diamalkan tidak betul dan kebanyakan hospital dan bidan-bidan boleh membantu menasihati ibu mengenai teknik penyusuan yang betul

Apa yang perlu dilakukan sekiranya bayi tersedak?

1 – Pertama sekali jangan panik sebab ibu bapa sering bimbang susu akan masuk ke saluran udara. Berikutan rekaan saluran udara manusia yang baik, jika ada sesuatu yang tidak betul, ia akan tertutup serta merta (dipanggil spasm). Bagaimanapun, bayi akan kelihatan sedikit biru atau mungkin pucat pada permulaan

2 – Dukung bayi dan tepuk belakang badan di mana lazimnya teknik itu sudah mencukupi

3 – Dalam kes yang agak kurang bernasib baik, kemungkinan susu itu masuk ke dalam paru-paru sehingga pernafasan terganggu. Jika ini berlaku, bantuan pernafasan mulut ke mulut atau CPR diperlukan untuk bayi. Sehubungan itu, ibu bapa sangat digalakkan mempelajari teknik CPR kerana ia bukan saja baik untuk bayi, malah orang dewasa

Nasihat kepada ibu bapa yang terpaksa meninggalkan bayi di pusat jagaan kanak-kanak, disaran memantau pusat jagaan terbabit sebelum menghantar anak-anak

Cuba selidik dan bertanya dengan ibu bapa yang menghantar anak-anak ke pusat jagaan sama, lawat dan luangkan masa beberapa jam sambil memerhatikan keadaan kebersihan, persekitaran dan cara penjaga mengendalikan bayi dan kanak-kanak

Selain itu, pastikan jumlah kanak-kanak tidak terlalu ramai hingga sukar dikawal

 

Bayi Cirit Birit

Bagaimana nak tahu sama ada bayi saya mendapat cirit-birit?

Ramai ibubapa tertanya-tanya sama ada bayi mereka menghidapi cirit-birit sebab bagi bayi baru lahir pergerakan usus (pembuangan air besar) berlaku secara kerap. Pergerakan usus yang normal bagi bayi banyak bergantung kepada sama ada bayi anda diberikan susu badan atau formula. Najis bayi menyusu badan yang baru lahir adalah kekuningan, dan agak lembik atau cair dan boleh berlaku sekerap lima kali sehari. 

Kadang-kala, bayi yang menyusu badan akan menggerakkan ususnya semasa atau sebaik saja dia menghisap susu ibu. Ini berlaku sebab apabila perutnya diisi penuh, susu itu boleh merangsang keseluruhan saluran usus bayi, menyebabkan pergerakan usus. Dalam masa sebulan, kebanyakan bayi yang menyusu badan mengurangkan kekerapan pergerakan usus sampai satu atau dua kali sehari sahaja. Pergerakan usus bagi bayi yang mengambil susu formula ialah sekali sehari selalunya dan najisnya agak kental. 

Najis longgar yang berlaku dari semasa ke semasa adalah normal. Jika selepas bulan pertama bayi anda mula melepaskan najis yang busuk, cair dan berlendir (seorang doktor mengandaikannya seperti menghembuskan hingus ke dalam lampin bayi anda) — pada kadar yang kerap sebanyak satu pergerakan usus setiap kali dia menyusu — atau jika dia juga demam atau kelihatan seperti berat badannya menurun, ini mungkin cirit-birit, jadi berjumpalah pakar pediatrik atau doktor keluarga anda. 

Apa yang menyebabkan cirit-birit?

Punca utama cirit-birit ialah virus yang bergelar rotavirus. Hampir kesemua kanak-kanak akan dijangkiti virus ini pada suatu masa sebelum usia lima tahun. Rotavirus menyebabkan gastroenteritis, satu infeksi usus. Infeksi ini menjejaskan lapisan dalaman usus. Lapisan yang terjejas itu mengeluarkan cecair dan membiarkan makanan lalu terus tanpa menyerap sebarang nutrien. 

Cirit-birit di kalangan bayi boleh disebabkan oleh susu formula tidak disediakan dengan sempurna, selesema, antibiotik, keracunan makanan, alergi, atau, yang jarang berlaku, kekurangan enzim tertentu. 

Bolehkah ianya dicegah?

Kebersihan yang sempurna boleh membantu mengurangkan kemungkinan berlakunya cirit-birit sebab mikro-organisme yang menyebabkannya boleh berpindah dengan senang dari tangan ke mulut. Oleh itu, cucilah tangan anda sebersih-bersihnya selama 15 saat dengan sabun anti-bakteria jika anda memegang lampin kotor atau selepas ke tandas. 

Bagaimanakah saya merawatnya?

Jika bayi anda mengambil susu badan atau formulanya dengan sempurna, teruskan amalan itu. Bagi bayi yang lebih tua, anda boleh memberinya beberapa hirup air atau air garam rehidrasi (oral rehydration salt solution atau ORS) sebagai tambahan kepada susu badan atau susu formula kekuatan penuh. 

Kanak-kanak yang baru bertatih dan yang lebih tua boleh diberikan jus buahan yang betul-betul cair (sekurang-kurangnya satu bahagian jus untuk 10 bahagian air). Ais krim batang adalah sesuai jika anak anda tak mahu minum. Elakkan minuman glukosa, minuman bergas dan jus yang tidak dicairkan (gula yang tidak dapat menyerap dapat menarik air ke dalam usus dan menjadikan cirit-birit lebih teruk). 

Jangan berikan ubat anti-cirit-birit kepada kanak-kanak di bawah umur 12 tahun, sebab ia boleh mendatangkan kesan sampingan yang serius. 

Adakan bayi yang menyusu badan lebih terselamat dari cirit-birit?

Ya. Elemen tertentu dalam susu badan boleh mencegah pembiakan mikro-organisme yang menyebabkan cirit-birit. 

Haruskah saya hentikan makanan pepejal?

Tidak. Selagi bayi anda tidak muntah-muntah dengan kerap, anda masih boleh memberikannya pepejal. Jika anak anda berusia enam bulan atau lebih tua, anda boleh memberinya makanan seperti pisang, nasi, puri epal dan roti bakar kering. Untuk bayi lebih tua atau bayi bertatih anda boleh mencuba sedikit daging ayam dan makanan berkanji seperti kentang lecek dan pasta. Tapi, jangan bimbang jika dia tak mahu makan. Adalah lebih penting bagi memastikan dia mahu minum untuk mengelakkan penyahhidratan. 

Bilakah saya harus memanggil doktor?

Cirit-birit boleh membimbangkan jika ianya tidak berhenti selepas beberapa jam, tetapi selalunya ia boleh berhenti dengan sendiri. Jika anak anda mengalami najis yang longgar dan cair selama lebih dari dua hari, panggillah doktor anda. Kebimbangan yang utama berhubung cirit-birit ialah penyahhidratan, jadi janganlah bertangguh memanggil pakar pediatrik jika anak anda menunjukkan tanda-tanda kekurangan pengambilan cecair atau kehilangan cecair seperti yang berikut: 

• kulit atau bibir kering; 
• lemah lesu; 
• menangis tanpa air mata; 
• ubun-ubun yang menurun; 
• tangan dan kaki pucat; 
• air kencing kuning pekat atau pertukaran lampin kurang dari yang biasa. 

Anda seharusnya berbincang dengan doktor jika anak anda: 

• tak mahu minum; 
• demam lebih dari 24 jam; 
• terdapat darah dalam najisnya; 
• tercirit-birit bersama muntah-muntah lebih dari 24 jam; 
• perutnya kembong buncit. 

Ini semua adalah simptom sekunder yang jarang berlaku, tetapi harus diberi perhatian sebab boleh melarat. 

Jika bayi anda kurang selesa semasa sakit cirit-birit, peluklah dia dan tenangkan hatinya seberapa boleh, dan pastikan badannya kering. Berikan perhatian dan berlembutlah apabila menukar lampin sebab memang senang untuk punggung bayi menjadi rengsa dan pedih akibat cirit-birit. Gunakan krim penghalang untuk mencegah iritasi jika cirit-birit berlarutan lebih dari sehari. Yakin dan bertenanglah, bayi anda akan sembuh dalam sedikit masa. 


Bayi Batuk Dan Selesema

Bayi Batuk Dan Selesema

Masih terbayang berita di dada akhbar pada pertengahan tahun lepas mengenai kematian bayi berusia empat bulan di sebuah taska. Kematiannya adalah berpunca daripada jangkitan kuman pada paru-paru dan bukan disebabkan tersedak susu. Tidak mahu pisang berbuah dua kali, berita ini membuatkan kita terfikir bagaimana perkara itu boleh berlaku. Memang benar, ajal maut semuanya di tangan-NYA. Namun sebagai hamba-Nya, kita boleh berikhtiar untuk mengelak daripada berlaku.

Adakah anak kerap diserang batuk, demam dan selesema? Apabila ini berlaku, sudah tentu si kecil kurang selera makan dan enggan minum susu. Ada kalanya susu yang diminum tersedak disebabkan batuk. Ia mungkin situasi biasa, tetapi jika masalah kesihatan itu berlarutan lebih tiga hari, cepatlah bertindak! Ini kerana jika dibiarkan, paru-paru anak anda mungkin dijangkiti virus yang mengakibatkan anak anda mengalami pneumonia.

Secara umumnya jangkitan paru-paru adalah berkaitan penyakit pneumonia. Pneumonia merujuk kepada jangkitan kuman pada paru-paru yang membuatkan seseorang itu sukar bernafas. Ia berlaku disebabkan saluran udara pada paru-paru dipenuhi nanah dan lendir yang menyebabkan sistem pernafasan tidak dapat berfungsi dengan baik.

Keadaan ini jika dibiarkan berterusan akan mengakibatkan oksigen tidak sampai ke dalam darah dan sel tubuh. Ini akan menyebabkan kanak-kanak mengalami kekurangan oksigen yang menyebabkan dia sukar bernafas yang membahayakan nyawa si manja anda.

Pneumonia terjadi kerana jangkitan bakteria, virus, fungus dan parasit. Secara umum antara bakteria yang menyebabkan pneumonia adalah ‘Streptococcus pneumoniae’, ‘Haemophilus influenzae’, ‘Chlamydia trachomatis’,’Mycoplasma pneumoniae’ dan ‘Legionella pneumophila’. Jangkitan kuman atau virus yang menyebabkan jangkitan di hidung , batuk, selsema dan berterusan pada paru-paru.

Pencegahan Awal
Pneumonia adalah masalah jangkitan paru-paru yang sangat biasa di kalangan kanak-kanak Malaysia. Jangkitan paru-paru kerap dialami oleh kanak-kanak berusia di bawah 5 tahun.

Kira-kira 60 peratus punca utama kebanyakan kanak-kanak dimasukkan ke wad di Malaysia. Pada awalnya kanak-kanak akan mengalami keradangan paru-paru (bronkitis) sebelum bertukar menjadi lebih kronik iaitu pneumonia. Pneumonia mungkin sukar dikesan pada kanak-kanak yang aktif, tetapi secara umum boleh dikesan menerusi perubahan sifat kanak-kanak itu iaitu meragam, tidak mahu minum susu dan tidak aktif.

Bagi kanak-kanak yang aktif, mungkin sedikit sukar mengesan gejala ini tetapi jika dia batuk berpanjangan selama tiga hari, lesu, muntah, nafas berbunyi dan mengalami kekurangan air (dehidrasi) segera dapatkan pemeriksaan lanjut dengan pegawai perubatan berdekatan. ibu bapa sepatutnya menyedari risiko pneumonia. Segera berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan lanjut. Kanak-kanak yang berisiko mendapat penyakit ini ialah mereka yang dijaga oleh pengasuh di taska, ‘day care’ iaitu dalam kelompok yang ramai dan keluarga yang besar dengan rumah yang sempit. Pada masa yang sama persekitaran dibiarkan tidak bersih dan perkongsian bekas makanan dan minuman yang menyebabkan penyakit disebar dengan mudah.

Dalam pada itu, bagi bayi yang berusia satu hingga tiga bulan sepatutnya sihat dan tidak ada sebab bayi ini mengalami demam. Namun jika tetap mengalami demam, bayi harus menjalani pemeriksaan imunisasinya.

Jangkitan kuman paru-paru boleh menjadi sangat serius dalam masa yang singkat terutamanya di kalangan kanak-kanak kecil. Kanak-kanak boleh mengalami kekurangan air (dehidrasi) atau kekurangan oksigen. Kanak-kanak yang mengalami tanda-tanda berikut perlu dimasukkan ke hospital iaitu pernafasan laju, sukar untuk bernafas , bibir menjadi biru, batuk berdarah dan tidak boleh makan atau minum atau tidak kencing. Jangkitan kuman ini boleh membahayakan nyawa.

Simptom
♦ Demam panas
♦ Batuk dengan atau tanpa kahak
♦ Sakit dada
♦ Tiada selera makan, tidak mahu makan
♦ Rasa tidak sihat, sering merengek
♦ Pernafasan laju atau susah bernafas
♦ Muntah atau cirit-birit

Rawatan
Kanak-kanak yang mengalami jangkitan kuman ini disebabkan oleh bakteria, antibiotik akan diberi oleh doktor. Bagaimanapun, jika jangkitan kuman di paru-paru ini berlarutan atau menjadi kritikal, anak anda perlu dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan oksigen, antibiotik dan sokongan perubatan yang lain.

Dalam pada itu, pencegahan awal untuk mengelak jangkitan kuman boleh dilakukan seperti amalan kebersihan diri, persekitaran yang baik dan meneruskan penyusuan susu ibu. Alternatif lain pencegahan awal ibu bapa boleh mendapatkan vaksin melalui hospital swasta untuk meningkatkan imun anak anda. Vaksin seperti vaksin batuk kokol (pertussis) dan demam campak (measles), Vaksin influenza dan Vaksin pneumococcal merupakan pengambilan imunisasi boleh mencegah jangkitan kuman di paru-paru.

♦ Beza batuk biasa dan batuk pneumonia
Batuk biasa Bunyinya ‘tidak dalam’ berbanding batuk akibat pneumonia.

♦ Batuk pneumonia
Bunyinya ‘dalam’ dan kerap terjadi waktu malam sehingga ke pagi. Kahak berhimpun kerana lebih kerap batuk di sebelah malam.

5 Tip Mudah
1. Mesti ada termometer untuk mengukur suhu badan anak.
2. Dapatkan puting botol susu jenis Y-Cut iaitu susu keluar apabila dihisap oleh anak kecil. Jenis ini membantu mengelak anak kecil tersedak susu.
3. Pastikan persekitaran taska bersih dan tidak terlalu ramai kanak-kanak.
4. Dapatkan rawatan doktor jika demam, selesema dan batuk tidak pulih selepas tiga hari.
5. Teruskan penyusuan susu ibu untuk meningkatkan antibodinya

TIPS – TIPS MERAWAT ANAK DEMAM

Tips – tips Merawat Anak 

1. Banyakkan berdoa memohon perlindungan dan kesihatan dari Allah SWT dan membaca ayat – ayat lazim kepada anak anda. Jika dia sudah besar, minta dia membacanya sendiri selalu. Ingatkan padanya bahawa ini adalah ujian dari Allah kerana Allah sayang kepadanya.

2. Sentiasa memberi ubat yang diberikan oleh doktor mengikut dos dan masa yang ditetapkan. Ingat, ubat paracetamol (PCM, panadol) hanyalah untuk menurunkan suhu badan anak yang panas, namun ia tidak dapat melegakan punca demam. Majoriti punca demam bagi anak – anak adalah disebabkan oleh jangkitan virus dan bakteria dan PCM tidak boleh membunuh virus atau bakteria tersebut. Sebaliknya antibodi yang dihasilkan oleh anak itu sendiri sahaja yang mampu melawan virus yang menyerangnya. Manakala antibiotik diperlukan jika anak dijangkiti oleh kuman atau bakteria.

3. Pastikan di rumah ada alat termometer dan juga jam loceng. Bila tiba masanya, jangan lupa memberi ubat paracetamol dan antibiotik (jika perlu) dan sentiasa memantau suhu bayi. Jam loceng amat berguna untuk mengejutkan kita bila memberi ubat dan memantau suhu anak di waktu lewat malam atau awal subuh.

4. Satu lagi cara yang amat berkesan adalah dengan memberikan susu ibu sebanyak dan sekerap mungkin kepada anak jika dia masih menyusu badan. Ini kerana di dalam susu ibu terdapat banyak faktor – faktor yang boleh melawan virus dan kuman seperti antibodi (sIgA, IgG), sel darah putih, laktoferrin, lysozyme dan banyak lagi. Itulah sebabnya kebanyakan bayi yang menyusu badan sangat jarang mendapat demam, dan kalau demampun, dia cepat sembuh. Perlu diingatkan bahawa tiada satupun susu formula yang mempunyai kelebihan seperti ini berbanding dengan susu ibu.

5. Jika bayi sudah berumur lebih dari 6 bulan, atau sudah mula makan selain dari susu, cubalah sebaik mungkin untuk memberinya makan. Jangan dipaksa, tapi jangan pula dilengahkan. Ini kerana anak kita memerlukan tenaga yang secukupnya untuk melawan jangkitan yang dialaminya. Memanglah pada kebiasaannya anak yang demam akan hilang selera makan, tapi itu bukanlah bermakna ia menjadi tiket untuk kita tidak memberikan dia makan seperti biasa. Untuk memudahkan proses ini, berikan makanan yang mudah dihadam seperti bubur yang cair, sup ayam dan lain – lain. Jika si kecil masih menolak, cuba berikan dalam kuantiti yang sedikit tapi kerap, misalnya 1-2 sudu selang 10 minit. Yang penting, dia perlukan sumber tenaga yang secukupnya di saat – saat yang genting ini.

6. Pastikan anak mendapat cecair yang secukupnya. Ini kerana ketika demam, suhu badan yang meningkat akan menyebabkan badannya mudah kekeringan air. Badan yang kekeringan air lebih lambat untuk sembuh dan ini akan membawa ke masalah yang lain pula seperti ketidakseimbangan elektrolit (garam galian) di dalam badan dan kalau kekeringan air ini dibiarkan melarat, boleh menyebabkan anak mendapat sawan, kerosakan buah pinggang dan otak dan mungkin boleh menyebabkan kematian. Cecair yang dicadangkan adalah seperti susu ibu (jika berusia kurang dari 6 bulan), jus buah yang dicairkan, sup ayam atau sup daging, air nasi, air kelapa, air barli atau air kosong.

7. Pakaikan anak dengan pakaian kapas dan nipis. Bayi yang masih kecil tidak perlu dibedung pada waktu ini supaya haba badan yang panas lebih mudah dapat keluar. Jika perlu, buka pakaian bayi dan letak bayi di tempat yang lapang dan berangin untuk memudahkan pengaliran haba keluar dari badan.

8. Diriwayatkan di dalam kitab Sahih Al-Bukhari dan Muslim, daripada Nafi’, daripada Ibn Umar r.a. bahawa Nabi Muhammad Salallahualaihiwasallam pernah bersabda, maksudnya:
“Sesungguhnya demam itu atau demam yang berat itu berasal daripada wap api Jahannam. Maka sejukkanlah dengan air.” (1)

9. Sentiasa basahkan badan bayi dengan air biasa. Tidak perlu air yang terlalu sejuk atau terlalu suam. Jika air itu terlalu sejuk, ini boleh menyebabkan badan bayi ‘terkejut’ dan menggigil. Manakala jika air suam atau panas maka lambatlah haba akan keluar dari badan. Cukuplah sekadar air paip pada suhu biasa. Oleh kerana ketika demam, badan bayi yang panas akan menyebabkan air basahan itu cepat saja kering, oleh itu perlulah kita mengelap badan bayi dengan kerap. 

10. Boleh juga menjeram / menjelum / membasahkan kepala, bahagian pelipat dan badan bayi menggunakan petua – petua tradisi seperti air asam jawa, lendir daun lidah buaya, air daun bunga raya, air daun jambu batu dan air daun sirih. Masukkan daun bunga raya, daun jambu batu atau daun sirih ke dalam sebekas air dan ramas daun tersebut sehingga keluar airnya lalu jeram kepala dan badan anak anda dengan air tersebut. Perlu diketahui, tiada sebarang jaminan bahawa petua – petua ini adalah berkesan namun tidak salah mencuba dan berusaha dengan cara ini selagi tidak terlalu menyusahkan kita. Jika sukar untuk mendapatkan bahan – bahan yang disebutkan tadi, maka cukuplah sekadar air paip biasa sahaja.

Bayi Demam

Bayi Demam

Apabila tiba musim perayaan, anak kecil mudah mendapat demam disebabkan cuaca panas dan jangkitan kuman. Selain membawa bekalan ubat demam pulang ke kampung, ketahui teknik untuk meredakan suhu badan anak yang demam. Teknik ini dapat membantu anda dengan menyediakan langkah demi langkah menyejukkan badan bayi.

Demam bukannya penyakit tetapi hanya gejala yang sering oleh bayi. Suhu badannya yang normal ialah 36 hingga 37Oc. Suhu badannya yang melebihi 37Oc menandakan anak anda demam. Bagi anak yang dibawah usia enam bulan, suhu badan melebihi 37Oc adalah serius. Jika ia kekal tinggi sehingga boleh mencecah 40Oc, ia berisiko berlakunya konvulsi (kekejangan) atau serangan sawan kepada bayi anda.

Tindakan Anda :
• Lap pada anggota badannya, berikan parasetamol
• Galakkan anak minuk air banyak
• Berjumpa doktor untuk rawatan lanjut jika suhu badan naik mendadak dan bayi masih demam.

Ubat Demam

Beri ubat demam mengikut dos pada label ubat yang disarankan oleh doktor. Beri ubat demam secara konsisten supaya suhu badannya berkurang. Pada masa yang sama sentiasa kawal suhu badannya untuk mengelak daripada meningkat kepada 40Oc yang mengakibatkan bayi berisiko mendapat sawan. Dalam pada itu, ubat demam yang diberi melalui dubur (pastikan ubat demam jenis ini sentiasa ada dalam simpanan anda untuk keperluan kecemasan) boleh diberi sekiranya suhu badannya hampir mencecah 40Oc. Segera berjumpa doktor untuk rawatan lanjut. Juga pastikan termometer (digalakkan memiliki termometer digital) sentiasa di dalam beg anda.

Mesti Tahu
Pengalaman seorang teman penulis memberitahu jika berlaku serangan sawan (kekejangan otot) di rumah atau dalam perjalanan ke hospital, basahkan badan bayi anda umpama anda memandikannya.

Waktu kecemasan ini, ambil air untuk basahkan seluruh badannya. Jangan biarkan situasi ini berlaku lebih satu minit. Ketika ini badannya akan mengeras dan anak matanya akan naik ke atas disebabkan suhu badannya sudah mencecah 40Oc. dia akan kembali normal setelah badannya kembali sejuk. Pastikan anak anda menangis kerana ia tanda dia sudah sedar. Segera masukkan ubat yang diberi melalui dubur (jika ada).

Segera bawalah ke hospital untuk rawatan lanjut. Jika situasi ia pernah berlaku kepada anak anda, kemungkinan ia akan berulang lagi jika anda mengabaikan pengambilan ubat demam secara konsisten walaupun dia sudah berusia enam tahun. Situasi kemungkinan ini akan berlaku sehingga anak berusia tujuh tahun. Serangan sawan boleh mengakibatkan berlaku kecacatan otak, malah jika dibiarkan terlalu lama serangan sawan ini boleh mengundang maut kepada anak anda. Waspadalah jika anak demam!