Wujudkan badan kehakiman bebas, tanpa pilih kasih.

PROFIT-LINK QUANTUM ENERGY Q-LINK CARD.

Wujudkan badan kehakiman bebas, tanpa pilih kasih.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bersama Raja Permaisuri Tuanku Zara Salim (kanan) berkenan melawat Muzium Kehakiman selepas menghadiri majlis Prosiding Rujukan (Reference Proceedings) untuk memperingati Almarhum Sultan Azlan Shah di Mahkamah Persekutuan di Istana Kehakiman di Putrajaya, hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA – Sultan Nazrin Shah yakin hasrat ayahanda baginda Almarhum Sultan Azlan Shah untuk melihat wujudnya sebuah badan kehakiman yang benar-benar bebas dan keadilan dilaksanakan tanpa gentar atau pilih kasih, akan terus dijunjung tinggi semua hakim.

Ketika menyampaikan titah pada Prosiding Peringatan di Mahkamah Persekutuan bagi memperingati Almarhum ayahanda baginda, Sultan Nazrin Shah bertitah baginda masih ingat sumpah jawatan yang dilafazkan bekas Sultan Perak itu ketika dilantik sebagai hakim bahawa Almarhum akan berusaha melaksanakan keadilan, bukan sahaja terhadap orang tertuduh, tetapi juga kepada negara.

Almarhum Sultan Azlan Shah adalah Ketua Hakim Negara yang kelima.

Sultan Nazrin memetik kata-kata berikut yang dilafazkan Almarhum ayahanda baginda tentang perlunya para hakim bersikap bebas.

“Para hakim perlu bebas daripada semuanya — eksekutif, Parlimen dan perasaan sendiri – serta bebas untuk bertindak dengan bebas dan tanpa berat sebelah.

“Tiada seorangpun anggota kerajaan, tiada seorang pun Ahli Parlimen dan tiada seorang pun pegawai dari mana-mana jabatan kerajaan berhak untuk mengarahkan atau mempengaruhi keputusan yang dibuat seseorang hakim. Dengan mengetahui secara yakin tentang hal inilah, orang ramai mempunyai keyakinan terhadap hakim. Hakim tidak terhutang budi dari segi politik kepada mana-mana kerajaan…,” titah baginda.

Sultan Nazrin Shah bertitah kecintaan ayahanda baginda terhadap undang-undang dan perjuangan Almarhum untuk menegakkan keadilan sentiasa mekar dan Almarhum telah berusaha menjunjung kedaulatan undang-undang serta kebebasan badan kehakiman dan melaksanakan keadilan tanpa gentar atau pilih kasih.

Sultan Perak itu bertitah ayahanda baginda tidak pernah bertolak ansur dalam usaha memelihara ketinggian moral dan nilai etika.

“Bagi Almarhum, garis pemisah antara yang benar dan yang salah sentiasa jelas. Sifat-sifat itulah yang disemai Almarhum dan bonda beta dalam diri putera puteri baginda berdua. Dan sifat-sifat inilah juga yang dijunjung oleh kami, putera puteri baginda berdua, setelah dewasa. Kami menjunjung kasih yang tidak terhingga terhadap baginda berdua,’ titah baginda.

Ketika menyampaikan titah itu, Sultan Nazrin Shah sesekali kelihatan sebak dan diruntun emosi.

Sultan Nazrin Shah bertitah kecintaan Almarhum ayahanda baginda terhadap kebebasan badan kehakiman memang dimaklumi ramai.

“Seperti anda semua sedia maklum, malah setelah berundur daripada badan kehakiman, Almarhum ayahanda beta terus menumpukan minat terhadap badan kehakiman serta memainkan peranan penting untuk memastikan badan kehakiman sentiasa bebas, melalui perbincangan yang diadakan pada Persidangan Majlis Raja-Raja,” titah baginda.

Sultan Nazrin Shah bertitah kini sudah lebih 30 tahun Almarhum ayahanda baginda melepaskan jawatan sebagai Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan setelah berkhidmat dengan badan kehakiman selama hampir 20 tahun.

“Minat ayahanda beta terhadap undang-undang dan hasrat mulia Almarhum dalam melaksanakan keadilan, tersimpul kukuh, bukan sahaja dalam minda keluarga beta, tetapi juga dalam minda kesemua mereka yang mengenali Almarhum.

“Adalah suatu kelaziman bagi Almarhum untuk membawa pulang kerja ke rumah, tetapi Almarhum ayahanda beta tidak pernah membiarkan hal peribadi atau keluarga mencampuri tugas baginda. Bonda beta, adik-beradik beta dan beta sendiri masih terbayang-bayang dengan jelas Almarhum berada di kamar bacaan untuk menulis penghakiman hingga subuh,” titah baginda.

Sultan Nazrin Shah juga yakin badan kehakiman Malaysia akan mencapai lebih banyak kejayaan di bawah pimpinan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.

Sultan Nazrin Shah bertitah bahawa bonda baginda, Tuanku Bainun, adik-beradik baginda dan baginda sendiri amat berbesar hati dengan kesudian Arifin mempengerusikan persidangan Mahkamah Persekutuan untuk memperingati ayahanda baginda.

“Kami sungguh terharu dan tersentuh hati dengan keindahan dan kesayuan yang menghiasi ucapan yang dilafazkan Ketua Hakim Negara, Peguam Negara (Tan Sri Abdul Gani Patail) dan Presiden Majlis Peguam (Christopher Leong),” titah baginda.

Sultan Nazrin Shah bertitah baginda dan Raja Permaisuri Perak berasa sungguh bertuah kerana diundang Ketua Hakim Negara dan Yang Arif para hakim lain untuk menganggotai barisan hakim Mahkamah Persekutuan pagi ini.

Pada prosiding peringatan itu, baginda dan Raja Permaisuri menganggotai barisan panel hakim bersama Arifin, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum.

“Beta berdua dengan penuh takzim bersyukur kerana memperoleh peluang yang sungguh istimewa ini. Sesungguhnya, peluang menganggotai panel hakim ini untuk mengalami, walaupun sejenak, apa yang Almarhum ayahanda beta pernah lalui selama beberapa tahun sebagai hakim, Hakim Besar Malaya dan Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan Malaysia, adalah suatu pengalaman yang amat membekas dalam ingatan,” titah baginda.

Sultan Nazrin Shah bertitah belum pernah terjadi dan bukan merupakan suatu tradisi bagi seorang anggota keluarga atau seseorang yang bukan merupakan pegawai mahkamah, untuk berucap pada prosiding peringatan di mahkamah.

“Tetapi, bagi memenuhi undangan Ketua Hakim Negara Malaysia, beta dengan penuh takzim menitahkan satu dua kata pada prosiding peringatan khas ini bagi menghormati Almarhum ayahanda beta,” titah Sultan Nazrin Shah. – Bernama

SUMBER : SINARHARIAN.COM

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s