Sumbangan Almarhum tidak ternilai.

PROFIT-LINK QUANTUM ENERGY Q-LINK CARD.

Sumbangan Almarhum tidak ternilai.

Almarhum Sultan Azlan Shah.PUTRAJAYA – “Jika anda ingin mengingati Almarhum (Sultan Azlan Shah), lihat saja di sekeliling mahkamah, anda akan terasa kehadiran Almarhum kerana nama Raja Azlan Shah seakan-akan sudah menjadi lambang bagi undang-undang itu sendiri,” kata Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.

Ketika memberi penghormatan kepada Almarhum Sultan Azlan Shah pada prosiding peringatan di sini, Arifin berkata Almarhum telah memberi sumbangan yang tidak ternilai terhadap pembangunan undang-undang negara ini, mengharumkan nama badan kehakiman ke seluruh dunia dan sebagai raja yang hebat, Almarhum memerintah negeri baginda dan negara dengan kebijaksanaan serta kepekaan yang amat mengagumkan.

“Perkhidmatan Almarhum sebagai hakim amat menepati bakat serta pembawaan baginda. Kehadiran baginda sudah memadai untuk memastikan barisan hakim dan peguam memenuhi standard yang baginda harapkan. Darjah tertinggi ketertiban dan kesopanan dari segenap segi sentiasa dijadikan matlamat dan dipenuhi,” katanya.

Arifin berkata, kesabaran memang diharapkan daripada setiap hakim dan Almarhum sering mempamerkan kualiti ini ketika baginda menjadi hakim, manakala penghakiman baginda pula dilatari oleh penyelidikan serta persiapan yang amat berdisiplin serta memberi fokus kepada fakta dan undang-undang.

Katanya, Almarhum Sultan Azlan Shah dikenang kerana sumbangan baginda terhadap pembangunan pentadbiran undang-undang negara dan badan kehakiman kehilangan seorang sahabat dan penyuluh jalan yang amat setia.

Arifin juga berkata, pada zaman Almarhum, mahkamah ibarat satu keluarga besar.

“Bagi Almarhum, menganggotai barisan hakim lebih daripada satu tugas; ia adalah satu tanggungjawab yang Almarhum pikul dengan sepenuh hati serta dilaksanakan dengan penuh kemahiran, kecemerlangan dan integriti.

“Warga mahkamah pada zaman Almarhum tahu bahawa walaupun baginda berperwatakan tegas dan hebat, namun Almarhum berhati mulia.

“Jadi, tidak hairanlah, setiap pagi, jurubahasa, pelayan pejabat, pemandu, orderlies, pendaftar mahkamah dan sebagainya begitu sabar menunggu dan berbaris di luar kamar Almarhum untuk bercakap dan memohon bantuan serta nasihat daripada baginda.

“Satu daripada kekesalan besar saya ialah, disebabkan tuntutan tugas dan keadaan yang sentiasa mendesak, Almarhum tidak berkesempatan melawat Istana Kehakiman ketika hayat baginda.

“Almarhum tentu amat gembira sekiraya melihat betapa bekas premis Mahkamah Agung yang begitu hebat di Bangunan Sultan Abdul Samad, yang menyimpan banyak kenangan manis sepanjang beberapa tahun baginda bertugas di situ, kini dibadikan dengan tidak kurang hebat dan megahnya di Istana Kehakiman,” katanya.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail pula dalam penghargaannya berkata, Almarhum Sultan Azlan Shah sentiasa mempamerkan bahawa baginda adalah pelindung setia Perlembagaan dengan sering menegaskan tentang betapa perlunya mengiktiraf tentang kepentingan kedaulatan undang-undang serta kesucian Perlembagaan Persekutuan.

“Mereka yang bertuah kerana berpeluang berinteraksi dengan Almarhum Sultan Azlan Shah boleh menjadi saksi betapa di sebalik sikap tegas baginda, tersembunyi sifat mesra, prihatin dan pemurah, sifat terpuji seorang Sultan.

Kesimpulannya, Almarhum Sultan Azlan Shah adalah ‘insan serba istimewa’.

“Almarhum Sultan Azlan Shah adalah gergasi kita dalam undang-undang.

Berlandaskan peninggalan Almarhum itulah,  kini kita berjuang untuk menyambung kesungguhan baginda dalam menjunjung dan memajukan undang-undang,” kata Abdul Gani.

Presiden Majlis Peguam Malaysia, Christopher Leong dalam penghargaan beliau, berkata majlis memperingati Almarhum Sultan Azlan Shah menjadi bukti betapa tingginya rasa hormat golongan pengamal undang-undang terhadap Almarhum.

Katanya sepanjang berkhidmat sebagai hakim Mahkamah Tinggi, hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Besar Malaya dan Ketua Hakim Negara, Almarhum membuat 280 penghakiman.

Leong berkata, penghakiman Almarhum disulami dengan penjelasan tentang pelbagai isu, termasuk berkaitan undang-undang perlembagaan dan pentadbiran. – Bernama

SUMBER : SINARHARIAN.COM

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s