Kepentingan Logam Nadir Bumi.

PROFIT-LINK QUANTUM ENERGY Q-LINK CARD.

Kepentingan Logam Nadir Bumi.

DALAM era serba moden ini, kehidupan manusia dituntut seiring dengan pembangunan, kemajuan dan perkembangan teknologi tinggi bagi menjamin kehidupan lebih selesa.

Lambakan produk dan peralatan canggih bagi memenuhi keperluan dan kehendak harian yang berada di pasaran seakan menjadi trend semasa bagi sebahagian besar individu dalam menjalani kehidupan serba moden.

Malah, fenomena ini bukan sahaja melanda penduduk di luar negara seperti Jepun, Amerika Syarikat dan China bahkan masyarakat Malaysia juga turut merasai tempiasnya.

Lihat sahaja di mana-mana, baik di pusat beli-belah sehinggakan di hentian bas dan teksi, masyarakat kita khususnya remaja seakan tidak pernah lekang dengan gajet-gajet elektronik seperti telefon pintar, ipod, ipad dan komputer riba yang direka dengan pelbagai bentuk dan warna yang menarik.

Gajet-gajet sebegini dianggap perlu bagi memastikan mereka sentiasa berada dalam suatu kelompok masyarakat yang moden, mengikut peredaran zaman dan up-to-date.

Perkembangan hidup serba moden secara tidak langsung turut mempengaruhi pasaran perkakasan rumah antaranya televisyen yang turut mengalami revolusi tersendiri yang menyokong kepada pengurangan pemanasan global.

Bermula daripada penggunaan televisyen skrin hitam putih kepada skrin warna pada era 40-an, kini warna skrin paparan cecair kristal (LCD), skrin panel paparan plasma (PDP) dan Light Emmitting Diode (LED) menjadi pilihan hati.

Tambahan pula, masyarakat sekarang lebih prihatin terhadap isu penjimatan tenaga dan teknologi hijau.

Kini, mereka lebih cenderung memilih peralatan yang menyokong usaha meningkatkan kecekapan tenaga sekali gus mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.

Antaranya seperti menggunakan lampu cekap tenaga (energy saver), bateri yang boleh dicas semula, penggunaan penapis sinar ultraviolet (UV) dalam kaca bagi kegunaan bangunan hijau untuk mengawal suhu dan ventilasi terhadap peningkatan pencahayaan.

Pengguna juga mula beralih kepada kenderaan generasi baru seperti kenderaan elektrik dan hibrid.

Bagi negara yang mempunyai keupayaan, jana kuasa angin bagi menghasilkan tenaga elektrik juga menjadi pilihan untuk mengatasi masalah pembebasan gas pencemaran.

Mungkin masih ramai antara kita yang tidak sedar bahawa tuntutan hidup serba moden ini hadir seiring dengan penggunaan suatu bahan asas iaitu nadir bumi yang menjadi momokan masyarakat sejak kebelakangan ini.

Unsur nadir bumi inilah yang melengkap dan menyokong pengeluaran dan pembuatan produk moden dan mesra alam di seluruh dunia.

Apakah seribu satu kebaikan yang terkandung pada unsur unik ini?

Nadir bumi sebenarnya adalah suatu unsur yang merupakan logam yang berkilau dan mempunyai sifat konduktif elektrik yang tinggi.

Penemuan nadir bumi berlaku sejak abad ke 17 dan ke 18 oleh beberapa saintis dari Finland dan Sweden antaranya Johan Gadolin, Per Teodor Cleve dan Carl Gustaf Morsander.

Nadir bumi lazimnya ditemui di dalam mineral-mineral tertentu seperti kuprum, plumbum, platinum dan emas yang terkandung di dalam kerak bumi, nadir bumi tidak pernah ditemui secara berasingan.

Malah ia juga boleh ditemui dalam kebanyakan pembentukan batuan yang besar.

Di Malaysia, nadir bumi ditemui bersama-sama bijih timah semasa aktiviti perlombongan bijih timah yang dilakukan di kawasan tanah lanar seperti yang terdapat di Perak dan Selangor.

Industri perlombongan bijih timah telah wujud sejak 1850-an dan berkembang di beberapa negeri di Malaysia terutamanya di Lembah Kinta, Perak.

Ia merupakan kawasan utama perlombongan bijih timah yang banyak menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara hingga pernah suatu ketika dahulu Malaysia pernah digelar sebagai negara pengeluar bijih timah utama di dunia.

Berbanding logam-logam lain, nadir bumi adalah logam yang lembut secara relatif dan kekuatannya meningkat seiring dengan peningkatan nombor atom.

Kebanyakan sebatian unsur nadir bumi mempunyai sifat paramagnet yang tinggi.

Sifat kimia yang unik ini menjadikan ia sebagai logam yang amat diperlukan sehingga ia mendapat jolokan sebagai logam strategik oleh penganalisis komoditi.

Jelas terbukti bahawa dengan ciri-ciri istimewa ini, nadir bumi menjadi logam yang tiada tolok bandingnya dengan logam-logam lain terutama kegunaannya dalam pengkhususan elektronik, optik, magnetik dan katalitik.

Secara sedar atau tidak, kehidupan kita seharian banyak melibatkan unsur nadir bumi.

Hakikatnya banyak teknologi hijau menggunakan unsur unik tersebut dalam pembangunan teknologi tinggi bagi menyuntik keselesaan di setiap ruang kehidupan kita.

Ini termasuk kemudahan melibatkan penggunaan alat pandang dengar, fotografi, komunikasi, peralatan muzik, pencahayaan dan turut digunakan bagi memajukan bidang perubatan iaitu peralatan pengimejan resonans magnetik (MRI) bagi meninjau sistem badan untuk tujuan rawatan.

Menafikan kegunaan dan kepentingan nadir bumi samalah ertinya dengan menolak kepentingan hidup yang lebih selesa.

Jika dilihat dari kaca mata industri, nadir bumi bakal melonjak industri strategik di Malaysia yang berpotensi menarik pelabur-pelabur dalam industri teknologi tinggi dan teknologi hijau untuk melabur di negara kita sekali gus memacu ekonomi negara ke satu tahap yang lebih tinggi.

Malah industri strategik ini juga mampu melahirkan lebih ramai tenaga mahir.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s