INFO : Merawat masalah Obesiti

INFO : Merawat masalah Obesiti

PADA hari ini masalah lemak berlebihan yang keterlaluan atau juga dikenali sebagai obesiti merupakan antara topik paling popular dibicarakan terutama mengenai usaha untuk mencari penawarnya.

Pengaruh Barat yang dipaparkan melalui iklan-iklan dan pertunjukan-pertunjukan fesyen bahawa mereka yang bertubuh kurus dianggap cantik dan sempurna menyebabkan ramai di antara kita berusaha untuk mendapatkan berat badan yang sedemikian.

Selain kesedaran berhubung kesan obesiti pada status kesihatan dan perkembangan psikososial seseorang, berat badan berlebihan sering dikonotasikan dengan gambaran negatif. Namun, rata-rata mereka yang berusaha mendapatkan berat badan idaman dan mengekalkannya sering menemui jalan buntu.

Pakar Perunding Perubatan (Endokrinologi), Jabatan Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Prof. Madya Dr. Nor Azmi Kamaruddin berkata, dalam menangani masalah obesiti, individu terbabit kena memahami tubuh badan dan keadaan diri mereka sendiri. Menurut beliau, mereka yang ingin menurunkan berat badan perlu realistik. “Senario proses menurunkan berat badan yang kita lihat hari ini rata-ratanya agak tidak praktikal. “Contohnya, jika berat badan ialah 100 kilogram, individu terbabit ingin menurunkan hingga ke 60 kilogram. Ini adalah sesuatu yang tidak praktikal dan mustahil,” ujarnya.

Image

Image

Image

Obesiti diertikan sebagai jumlah berat badan yang berlebihan akibat kandungan lemak. Dianggarkan sebanyak enam peratus rakyat Malaysia menghadapi masalah ini. Menurut Dr. Nor Azmi, peningkatan penyakit diabetes di negara ini sejajar dengan meningkatnya masalah obesiti.

Pada tahun 2000, kadar peningkatan diabetes meningkat hingga 10 peratus berbanding tiga peratus pada tahun 1992. “Di England, peningkatan obesiti sama banyaknya dengan masa yang dihabiskan ketika menonton televisyen,” jelasnya. Tambah beliau, dalam usaha menurunkan berat badan masalah yang sering timbul ialah mengekalkannya. “Biasanya apabila kita telah berusaha untuk mengurangkan berat badan, masalah yang muncul ialah untuk mengekalkan berat badan baru yang telah kita peroleh,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan mereka yang ingin menurunkan berat badan supaya tidak terlalu obses dengan berat badan yang mereka ingini. Sebaliknya, sasaran utama yang perlu ditekankan ialah individu terbabit haruslah realistik dengan berat badan yang ideal dan sesuai dengan ketinggian mereka.

Pada peringkat awal, cuba kurangkan berat badan sebanyak 10 peratus dalam tempoh antara enam hingga 12 bulan. Tambahnya, mereka yang menghadapi masalah obesiti juga tidak seharusnya mudah terpengaruh dengan program-program menguruskan badan yang banyak digembar- gemburkan di media massa. “Sebahagian besar produk atau program-program yang ditawarkan untuk menguruskan badan terbukti tidak benar-benar berkesan. “Memang ada yang berjaya dengan menggunakan kaedah ini, tetapi kejayaan seseorang tidak boleh dijadikan ukuran sebenar untuk menilai keberkesanan sesuatu produk,” ujarnya.

Dr. Nor Azmi memberitahu, untuk membuktikan sama ada sesuatu produk itu benar- benar berkesan kepada pengguna, ia haruslah dibuktikan secara saintifik dengan lebih 50 peratus pesakit berjaya menurunkan berat badan dalam tempoh enam hingga 12 bulan. Menurut beliau, terdapat empat kaedah yang perlu dilakukan oleh mereka yang menghadapi masalah obesiti. Ini termasuklah diet, senaman, ubat-ubatan dan pembedahan.

Diet

– Elakkan makanan yang tinggi kandungan kalori seperti makanan yang banyak lemak dan gula. Banyakkan makan sayur-sayuran dan buah-buahan. Kurangkan menggoreng makanan. Banyakkan makanan yang direbus dan dibakar.

– Elakkan menggunakan susu pekat manis.

– Kurangkan kandungan gula dalam minuman dan kuih-muih.

– Makan ikut jadual dan elakkan meninggalkan jadual makan.

– Jangan gelojoh ketika makan dan ambil masa untuk memberi rasa kekenyangan.

– Kurangkan makan di waktu malam, elakkan snek ketika menonton televisyen.

– Pengurangan antara 500 hingga 1,000 kalori sehari dapat mengurangkan antara 0.5 hingga 1 kilogram sebulan.

Senaman

Senaman perlu dilakukan secara berterusan setiap hari dalam tempoh 20 hingga 30 minit sahaja bergantung kepada aktiviti yang dilakukan.

Sebaik-baiknya amalkan senaman selama 15 minit setiap hari daripada bersenam selama dua jam tetapi hanya seminggu sekali.

Senaman ini merangkumi berjoging, berbasikal, aerobik, bersukan, berenang dan sebagainya.

Ubat-ubatan

Kaedah ini dapat membantu mengurangkan sebanyak antara lima hingga 10 peratus berat badan.

Terdapat empat jenis ubat-ubatan iaitu:

– Lipase inhibator. Ubat ini menghalang enzim lipase di dalam saluran penghadaman memproses lemak makanan yang dimakan daripada menyerap ke dalam tubuh. Bagaimanapun, ia hanya menyekat 1/3 daripada lemak tersebut dan bakinya akan memasuki sistem penghadaman makanan.

– Ubat mengekalkan paras hormon adrenalin dan serotonin. Dengan memakan ubat ini, ia akan mengawal fungsi selera makan dalam otak yang menyebabkan individu terbabit berasa kenyang. Kesan sampingannya ialah hipertensi, sukar tidur, jantung berdebar, panas dan sebagainya.

– Ubat kencing manis. Ia boleh bertindak terhadap sel-sel tubuh dengan memperbaiki sensitiviti sel terhadap hormon insulin.

– Ubat antikemurungan. Walaupun ia boleh menurunkan berat badan, ia tidak digunakan untuk mengurangkan berat badan kerana ia boleh menimbulkan kesan sampingan.

Pembedahan

Pembedahan ini bukan pembedahan kosmetik yang boleh menguruskan badan. Ia hanya digunakan bagi mereka yang mempunyai masalah obesiti yang serius. Jaminan keberkesanan kaedah ini ialah sebanyak 90 peratus dengan pengurangan berat badan antara 30 hingga 50 kilogram.

Namun, ia juga mempunyai implikasi tersendiri seperti muntah, kekurangan zat vitamin dan jahitan terbuka.

Antara jenis pembedahan yang dilakukan ialah:

– Jaw wiring – mengecilkan bukaan rahang mulut supaya individu tersebut tidak boleh makan dengan banyak.

– Gastric reduction – mengecilkan kandungan perut supaya makanan tidak dapat diisi dengan banyak.

– Ile-jujenal bypass (Roux-EnY) – pembedahan pintasan di mana perut akan disambung terus ke usus kecil sekali gus menghalang makanan daripada dihadamkan.

Kaedah untuk mengukur kesesuaian berat badan BMI (Indeks Jisim Badan) kg 72 Ketinggian (m2) 1.7×1.7

Ukuran berat badan boleh dilakukan berdasarkan panduan seperti:

Normal: 17-25

Berat badan berlebihan: 25-30

Obesiti tahap I: 30-35

Obesiti tahap II: 35-40

Obesiti tahap III: 40 ke atas

Punca

Hampir sebahagian besar masalah obesiti ini berpunca daripada faktor luaran seperti:

– Pemakanan. Pemakanan yang berlebihan terutama makanan yang mengandungi kalori (tenaga) tinggi. Ini termasuklah makanan yang mempunyai kandungan lemak dan gula yang tinggi.

– Kurang melakukan senaman.

– Kesibukan bekerja, menonton televisyen dan banyak menghabiskan masa di depan komputer.

– Penyakit-penyakit metabolisme endokrin seperti kekurangan atau terlebih hormon pertumbuhan kortisol. Sekiranya kekurangan hormon thyroxsin atau kekurangan hormon lelaki (testosteron) seseorang boleh mengalami masalah berat badan berlebihan. Ada kalanya ketumbuhan pada hipotalamus boleh menyebabkan individu mempunyai berat badan berlebihan kerana selera makan yang tinggi.

– Ubat-ubatan. Amalan memakan sesetengah ubat-ubatan seperti steroid atau ubat tradisional Cina boleh mengakibatkan berat badan bertambah. Steroid yang berlebihan boleh menyebabkan penyakit diabetes dan hipertensi.

– Masalah genetik. Terdapat beberapa gen dalam tubuh yang menyebabkan berat badan berlebihan. Sindrom-sindrom seperti Prader-Willi, Laurence Moon Biedl dan sebagainya boleh menyebabkan obesiti.

l Sindrom metabolik. Sindrom metabolik iaitu sejenis penyakit keturunan menyebabkan seseorang itu mempunyai berat badan yang berlebihan, diabetes, hipertensi, tahap kolesterol yang tinggi, gout dan sebagainya.

Bagaimana menyukat tahap obesiti

Selain berat badan berlebihan, seseorang boleh menilai sama ada ia tergolong dalam kategori obesiti melalui ukuran diameter di pusat:

– Bagi wanita jika ukuran melebihi 88 sentimeter = risiko tinggi mendapat penyakit dan dikategorikan dalam golongan obesiti

– Bagi lelaki jika ukuran melebihi 102 sentimeter = risiko tinggi untuk mendapat penyakit dan dikategorikan dalam golongan obesiti.

Implikasi obesiti

Risiko menghidap pelbagai penyakit seperti:

– Penyakit hipertensi

– Penyakit jantung koronari

– Diabetes Mellitus

– Kanser terutamanya kanser buah dada, usus dan lain-lain

– Gout dan sakit sendi (osteoartritis)

– Masalah pernafasan – sleep apnea syndrome

– Masalah batu dalam pundi hempedu (gall bladder)

– Bagi wanita mereka biasanya menghadapi masalah sakit puan seperti kitaran haid yang tidak menentu, ketidak- suburan dan sebagainya.

Risiko psikososial

Individu yang terlalu gemuk akan menghadapi masalah kurang keyakinan diri kerana mereka menjadi bahan bualan. Dari aspek sosial, masyarakat memandang rendah terhadap mereka dan tidak ramai yang ingin bergaul dengan mereka. Kajian menunjukkan individu yang mengalami obesiti kurang mendapat peluang kenaikan pangkat dalam pekerjaan mereka kerana ia sering dikaitkan dengan tabiat malas.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s